4 Tip Persediaan Tutor Untuk Kelas Pertama
Asyik bercakap pasal pelajar je, kalini saya akan bercakap berkenaan tutor pulak. Untuk para tutor yang baru je dapat klien, macam mana nak bersedia atau membuat persediaan untuk kelas pertama kalian. Apa yang kena ada, bahan bantu mengajar okay tak untuk tahap pelajar tersebut dan macam-macam lagi. Jangan risau, saya akan kongsikan tip-tip persediaan tutor untuk kelas yang pertama.
- Kenali Latar Belakang Pelajar
Sebelum memulakan kelas, tutor boleh menanyakan terlebih dahulu kepada ibu bapa pelajar tersebut berkenaan umur, tahap pembelajaran, minat dan gaya belajar mereka. Perkara akan memudahkan tutor untuk mengorak langkah mereka untuk mengenali pelajar tersebut. Gaya belajar pelajar sangat penting untuk memastikan pelajar mudah faham pada awal-awal kelas. Ada pelajar yang lebih memahami pembelajaran menerusi visual tapi ada yang tidak. Ini akan memainkan peranan penting dalam pembelajaran. Selain itu, tutor juga boleh berjanji untuk mengajar pelajar tersebut sehingga mahir dalam subjek tersebut. Ini akan membina kepercayaan antara tutor dan pelajar tersebut.
- Sediakan Rancangan Pengajaran Ringkas
Tip kedua adalah menyediakan rancangan pengajaran secara ringkas. Untuk kelas yang pertama nanti, tutor boleh tetapkan objektif yang ingin dicapai pada kelas pertama nanti. Ini memastikan tutor mempunyai hala tuju yang jelas ketika mengajar pelajar tersebut. Selain itu juga, tutor boleh merancang aktiviti yang bersesuaian dengan tahap pelajar tersebut. Seperti membuat kuiz dalam talian seperti Quizizz atau Kahoot untuk menguji pemahaman pelajar selepas belajar.
- Bawa Bahan Yang Menarik dan Relevan
Jika pelajar yang bakal diajar lebih selesa menggunakan gaya pembelajaran menerusi visual, tutor boleh menggunakan bahan visual yang bersesuaian dengan tahap pelajar tersebut. Ini akan menyebabkan pelajar tertarik untuk belajar dan dapat meningkatkan pemahamannya dalam pembelajaran. Tapi, tutor kena pastikan bahan yang dibawa bersesuaian dengan umur dan juga minat pelajar. Ini dapat mengelakkan pelajar tersebut merasa kekok ketika menggunakannya.
- Tetapkan Suasana Yang Mesra dan Profesional
Suasana pembelajaran yang mesra dan profesional juga memainkan peranan penting. Sekiranya suasana pembelajaran muram, ini akan meningkatkan rasa gelisah dalam diri pelajar dan tidak akan fokus dalam pembelajaran. Oleh itu, tutor boleh memulakan kelas dengan senyuman dan sikap terbuka terhadap pelajar. Tutor dan pelajar kena menggunakan bahasa yang sopan dan galakkan komunikasi dua hala. Ini akan meningkatkan rasa hormat antara kedua-dua belah pihak.
Semoga tip-tip dapat membantu tutor-tutor di luar sana yang baru sahaja mendapat klien. Ingat, ajarlah pelajar tersebut dengan tenang dan bersemangat untuk meningkatkan keputusan peperiksaan pelajar tersebut.


