Rahsia Memori Pelajar: Apa Berlaku Selepas Belajar?
Mesti lepas belajar, pelajar mesti lupa sikit sikit apa yang pelajar ulang kaji semalam. Mesti stres kan. Ini kerana maklumat di pusat penempatan memori sementara telah ‘membuang’ hasil ulang kaji pelajar atas sebab-sebab tertentu. Pusat penempatan memori sementara itu dikenali sebagai hippocampus. Hippocampus ialah satu struktur kecil dalam otak yang mempunyai satu peranan yang penting, iaitu membentuk memori jangka pendek. Apabila pelajar menerima maklumat baharu hasil pembelajaran di kelas, membaca buku atau mendengar penerangan daripada guru atau rakan-rakan, maklumat itu akan disimpan di hippocampus tapi untuk jangka masa pendek.
Macam mana nak menyimpan semua maklumat tersebut secara jangka masa panjang? Pelajar mestilah melakukan ulangkaji, mempunyai tidur yang berkualiti dan juga emosi yang positif ketika belajar. Dengan cara ini, pelajar dapat menggunakan maklumat-maklumat tersebut secara jangka masa panjang. Ketiga-tiga cara tersebut dapat dikategorikan sebagai faktor yang menguatkan memori pelajar.
- Latih Tubi – Kukuhkan Laluan Saraf
Ketika pelajar membuat ulang kaji atau latihan, pelajar sebenarnya sedang menguatkan sambungan antara neuron-neuron dalam otak. Semakin kerap pelajar membuat ulang kaji, semakin kukuh laluan saraf tersebut. Di samping itu juga, semakin kerap maklumat itu diulang, maklumat tersebut akan mudah diingati dan digunakan semasa peperiksaan. Latih tubi ini berfungsi untuk membina kefahaman dan pengetahuan yang mendalam terhadap topik-topik yang dipelajari.
- Tidur Cukup – Info Dipindahkan Semasa Deep Sleep
Selain daripada mengulang kaji pelajaran, pelajar juga memerlukan tidur yang cukup dan berkualiti untuk memproses dan mengekalkan maklumat dalam otak pelajar secara jangka masa panjang. Semasa fasa tidur nyenyak atau deep sleep, otak sebenarnya tengah bergiat aktif memindahkan maklumat dari hippocampus ke korteks serebrum iaitu, tempat simpanan memori jangka panjang. Ini hanya terjadi apabila pelajar mendapat tidur yang cukup sahaja. Sekiranya tidak, keseluruhan proses ini boleh terganggu sehingga menyebabkan maklumat tidak sempat untuk dipindahkan.
- Emosi Positif – Belajar dalam Suasana Tenang dan Gembira
Emosi juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan keupayaan otak dalam menyerap maklumat dan memahami pembelajaran. Apabila pelajar berada dalam keadaan yang tenang, selesa dan tidak serabut, hormon seperti dopamin dan serotonin membantu meningkatkan fokus dan pembentukan memori. Jika diikutkan logik akal, tiada siapa boleh memahami topik pembelajaran sekiranya mereka berada dalam keadaan tertekan dan serabut. Suasana pembelajaran yang positif bukan sahaja menyenangkan tetapi juga penting dalam keberkesanan pembelajaran.
Semoga perkongsian kali ini dapat membuka mata para pelajar untuk mengambil serius bagaimana untuk mengingat sesuatu topik dengan tempoh masa lama dan jangka masa yang panjang.


