Teknik Feyman
Sebelum ini, saya menerangkan teknik pomodoro dan cara mengulang kaji pelajaran menggunakan teknik tersebut, jadi kali ni, saya akan menerangkan satu lagi teknik iaitu, teknik Feynman yang diasaskan oleh Richard Feynman. Teknik ini mempunyai 4 langkah untuk menggunakannya.
- Pilih Topik Yang Sesuai
Sebelum memulakan teknik ini, pelajar kenalah pilih topik yang sesuai untuk mengulang kaji. Sekiranya pelajar pandai dalam sesuatu subjek, dinasihatkan untuk menggunakan subjek tersebut. Di sini, saya guna subjek Perniagaan untuk bab 1 sebagai contoh.
- Terangkan Dengan Bahasa Mudah
Teknik kedua ini memerlukan pelajar untuk pura-pura mengajar kepada seorang kanak-kanak. Ini kerana Feynman bagitahu “lebih rendah gred kefahaman seseorang, lebih mudah untuk difahami”. Pelajar juga kena gunakan bahasa yang mudah dan tidak menggunakan perkataan-perkataan yang khusus dalam sesuatu bidang tersebut. Berbalik kepada subjek Perniagaan tadi, saya masukkan topik Konsep Asas Perniagaan. Dalam konsep tersebut ada 6 komponen dan saya terangkan menggunakan bahasa mudah:
- Untuk meniaga kena ada Penjual dan Pembeli. Kalau tiada mereka, perniagaan takkan berlaku.
- Meniaga juga kena ada Barang dan Perkhidmatan untuk ditawarkan untuk memulakan sesuatu urusan perniagaan.
- Kenapa kena ada Barang dan Perkhidmatan? Untuk memuaskan Kehendak dan Keperluan Pengguna. Keperluan adalah sesuatu yang kita perlukan untuk hidup seperti makanan. Kehendak adalah perkara yang kita inginkan seperti telefon pintar.
- Sebab apa untuk berniaga? Untuk mendapatkan Pertukaran Nilai antara Penjual dan Pembeli. Penjual dapat duit, pembeli dapat barang atau perkhidmatan.
- Sebab lain untuk berniaga? Untuk mendapat Keuntungan Perniagaan. Tiada orang berniaga untuk dapat rugi, semua mahukan untung.
- Sebelum memulakan perniagaan, kena ada Kontrak Perniagaan. Kenapa kena ada ni? Untuk memastikan perniagaan kita sah di sisi undang-undang.
- Kenal Pasti Bahagian Yang Tidak Difahami
Ketika pelajar menerangkan sesuatu topik, mesti akan satu ketika pelajar akan tersekat atau keliru yang akan menyebabkan pelajar berhenti mengajar. Itu tandanya pelajar belum menguasai topik tersebut sepenuhnya. Apa yang perlu pelajar lakukan adalah pelajar kena mengulang kaji semula topik tersebut untuk memperbaiki kefahaman pelajar sebelum menyambung mengajar.
- Susun Semula dan Sederhanakan
Setelah pelajar memahami bahagian yang tidak difahami tersebut, pelajar boleh tulis semula penerangan pelajar dengan lebih jelas dan mudah. Pelajar boleh menggunakan cara membuat nota ringkas atau peta minda. Lepas ni, pelajar mampu untuk menerangkan semua topik dengan mudah dan jelas.
Semoga teknik Feynman mampu menolong pelajar untuk mengulang kaji pelajaran dengan mudah dan baik seterusnya dapat memberikan pelajar keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.


